PMRAM: Antara Virologi dan Farmakologi
APABILA mengaitkan falasi pemikiran pada perkataan diatas, anda tentu melihat artikel yang ingin saya taipkan ini menjurus kearah bidang kedoktoran atau tidak lari dari mengupas isu disekitar perubatan + makmal. Namun betulkah begitu?
Senyum. Tentu sekali tidak. Saya beranggapan tajuk boleh dipilih untuk diguna pakai dalam menyatakan apa-apa perkara sekalipun asalkan ada kaitannya. Dan sudah tentu untuk tujuan tersebut, saya mengira artikel dibawah kolum untukmu PMRAM ini mahu menggambarkan kepada anda semua perkara yang ada baik dan lawannya.
Bermula tahun 1930 sehingga sekarang, PMRAM dilihat dan dikenali sebagai persatuan mahupun badan yang menaungi kebajikan penuntut luar negara Malaysia yang menyambung pelajaran di bumi Mesir. Sinonim dengan kebajikan yang telah diatur sekian lama, tidak mustahil persekutuan yang dikenali ini telah terkena duri, difitnah pelbagai tohmahan, dihambat dan ditekan persis singa yang kelaparan mengejar mangsa sehingga farmakologi tersebut cuba untuk diharamkan kewujudannya yang berusia 78 tahun ini tetap berterusan.
Virologi yang disuntik oleh beberapa pihak yang tidak senang hati ini bukanlah fenomena baru. Anda pun tahu dan yang berada di Malaysia sekalipun tahu hakikat tersebut. Namun PMRAM tetap bangun dengan hadaf ini walau terperuk dengan pesimisme yang tidak berkesudahan. Hadaf yang selalu diketengahkan oleh setiap badan pengurus untuk menyatukan suara anak-anak Melayu yang tinggal di Republik Arab Mesir ini ada hakikat. Bukan mainan mahupun kecapan fantasi semata-mata. Jauh sekali ia dianggap tidak pernah ada atau mitos yang berlawan dengan sejarah. Apabila mengaitkan perkataan sejarah, cariknya PMRAM ini mula dilihat seawal 1975 akibat wujud fahaman kenegerian di antara ahli sehingga pihak badan pengurus terpaksa menutup pendaftaran. Malah suasana ini turut mencorakkan krisis pemikiran diantara pucuk pimpinan sehinggalah persekutuan ini diambil alih oleh al-fadhil Ustaz Idris Ahmad ( Yang Dipertua PMRAM ) sekitar tahun 1980. Masalah ini tidak terhenti pada tahun 70-an sahaja apabila JPM mula menyekat bantuan kewangan kerajaan Malaysia untuk disalurkan kepada PMRAM. Namun, ia sedikit sebanyak beransur pulih lantaran ahli-ahli yang mendokong turut menderma wang semata-mata untuk menjayakan program yang mahu dianjurkan sekaligus menambah kekuatan kewangan itu sendiri.
Namun panas tidak selamanya ke petang, sejarah hitam yang mencarik PMRAM semakin merobek pada awal tahun 90-an akibat tercetus alasan yang mengatakan Persekutuan ini tidak mampu menyatukan para mahasiswa kerana dalam masa yang sama, pihak kedutaan menaja penubuhan baru iaitu Persatuan Pelajar-Pelajar Mesir (PPMM). Perbincangan dua hala dengan TYT Duta Besar Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia mengakibatkan tercetusnya demonstrasi aman mahasiswa Malaysia kerana keputusan PMRAM untuk membantah penubuhan tersebut atas relevan PMRAM masih mampu memberi khidmat kepada mahasiswa. Demonstrasi yang dilakukan pada bulan februari 1992 ini menyebabkan pihak kedutaan menghantar surat rasmi memutuskan hubungan, malah ‘memutuskan’ kemudahan yang selama ini dikecap oleh mahasiswa untuk menggunakan kemudahan di Asrama Rumah Melayu. Dan sehingga sekarang atas kebenaran Kementerian Kemasyarakatan Mesir, PMRAM telah beroperasi di Madinat Nasr.
Menelusuri sejarah PMRAM sebentar tadi sedikit sebanyak menghampiri kita istilah virologi dan farmakologi. Lihat sahaja sejarah 70,80 dan 90-an tersebut. Ada jatuh dan bangunnya. Virologi diatas yang berpihak kepada sikap ‘melawan’ ini tidak mustahil boleh berbalik semula pada waktu sekarang. Namun ini semua berpandukan pada kekuatan ahli yang mendokonginya agar thabat dengan spekulasi yang wujud. Anda tentu pernah membaitkan lirik lagu untukmu PMRAM ketika mula-mu tiba di Bumi Mesir ini. Lirik yang berbunyi :
Sekian lama kau menaungi kami
Sekian lama kau bersama kami
Susah dan senang kami di sini
Kau tetap setia di hati
Sekian lama kau menaungi kami
Sekian lama kau bersama kami
Susah senangmu kami rasai
Cintamu tetap di hati
Kini kami tahu
Hebatnya sejarahmu yang dulu
Kegemilangan usiamu yang lalu
Menjadi sumber inspirasi
Untukmu PMRAM
Kami pertahankan
Demi menegakkan
Kesinambunganmu yang agung
Gemilang...
Yang tak pernah padam
Ditelan zaman nan silam
Engkaulah yang satu
Masih gagah dan jitu
Kebijaksanaan dan kematanganmu yang padu
Bukti kejayaan
Kau terus dijulang
Lambang perpaduan.
Kekuatan yang berada pada paksi hampir 78 tahun ini (11 april 1930) mampu dibina kukuh andai lirik yang dicanang diatas sentiasa diadaptasi oleh kita semua kearah lebih konkrit. Keghairahan mencaturkan strategi untuk membawa kebajikan kepada ahli ini atau ‘diberi’ kebajikan adalah berpihak kepada mahasiswa itu sendiri. Maksud ‘diberi’ ini adalah sama-sama meletakkan kelemahan dan kekuatan itu dengan sentiasa memerlukan sokongan. Ramai dikalangan kita memberi ‘tiket’ dalam memilih calon untuk menjadi badan pengurus sehinggalah sidang pilihanraya meluluskan percalonan tersebut. Dan sehinggalah pada tempoh berlangsungnya muktamar, masing-masing ahli berpegang kepada konsep “mereka badan pengurus dan mereka ada kuasa menggerakkan PMRAM ini tanpa kudrat kita”. Sesungguhnya inilah tanggapan virologi yang telah di set kepada pemikiran majoriti ahli dan pokoknya tidak dapat membantu tunjang PMRAM itu sendiri. Cuba anda melihat status pucuk pimpinan atau penggerak yang menaungi persekutuan ini, mereka juga berlatar-belakangkan seperti kita! Pelajar kuliah yang perlukan biasiswa, perlukan masa untuk mentelaah, perlukan khabaran dari keluarga di tanah air. Perlukan tempat tinggal dirumah sewa atau rumah negeri dan yang pasti mereka perlukan “liabiliti” sokongan yang tidak pernah putus daripada ahli!. Pendek kata, kitalah yang menjadi farmakologi untuk membasmi virologi tersebut sehingga ke akar umbi. Walau di pihak ahli sekalipun terdapat perancangan yang baik didalangi, kongsilah perkara tersebut untuk manfaat bersama.
Pujangga arab ada mengatakan:
Orang yang berjiwa besar orang yang bercakap tentang pelbagai idea
Orang yang biasa ialah yang mengulas tentang pelbagai peristiwa
Orang yang berjiwa kecil ialah orang yang memperkatakan tentang orang lain
Manakala orang yang berotak kecil ialah yang memperkatakan tentang diri mereka sendiri.
Ayuh! Kita bina bahtera yang mampu membawa muatan penuh tetapi tidak karam, kitalah yang menyelamatkan anak-anak kapal dari terminum air yang masin dan kitalah yang menjadi kompas membawa bahtera selamat ke hamparan berpasir. Titipkan kudrat sebagai mahasiswa dari seluruh suara dan tenaga agar kita sebati dengan perjuangan PMRAM yang didokongi sekarang. Yang melunaskan dakwah dalam berpesatuan. Yang menjunjung al-Quran, sunnah, ijma’ dan qias dalam setiap pangkal visi. Kita jualah ubatan memusnahkan virus yang menular di setiap nadi darah perjuangan menegakkan amal makruf dan mencegah nahi mungkar kerana kita adalah PMRAM dan PMRAM itu kita.
Tuntas, sudah tiba masanya kita pasifkan semua perkara terhadap walah bicara yang mengganggu gugat kestabilan bumbung yang kita teduhinya sekarang ini. PMRAM dengan corak yang dipimpin bermula Presiden sehinggalah ke Badan Kebajikan & Tabung Derma, sudah tentu perlukan kekuatan daripada kita semua. Penulis tinggalkan kata-kata Ustaz Hairul Nizam Mat Hussin – Presiden PMRAM 2007 yang pernah mengucapkan kepada kita awal februari baru-baru ini;
“Badan Kebajikan Anak Negeri dan Dewan Perwakilan Mahasiswa adalah nadi kepada PMRAM!”
Sama ada kita yang menggerakkannya atau tangan kita jualah yang merobohkannya!
VIROLOGI : (Ubat) kajian tentang virus dan penyakit-penyakit yang disebabkan virus.
FARMAKOLOGI : sains atau kajian tentang ubat-ubatan, termasuk sifat, tindakan, dan kegunaannya
Artikel ini pernah disiarkan di Suara Kampus Edisi Kelantan Bil.40Terima kasih tak terhingga kepada seluruh komiti SKEK ^_^
klik disini untuk muat turun lagu PMRAM (2.20 MB) : download
gambar tutorial untuk muat turun lagu PMRAM
(klik untuk besarkan)