Demo Site

DeviantArt Editor



Anda boleh memuat turun wallpapers di dalam akaun Deviantart Editor ini dengan cara berikut:
1-Klik pada gambar yang anda inginkan
2-Klik "Go to deviantion page"
3-Kemudian klik "Download Image di sebelah kanan page deviantart.
4-Siap!
Showing posts with label CopyPaste. Show all posts
Showing posts with label CopyPaste. Show all posts

Thursday, October 21, 2010

Nik Aziz: Tokoh 20 Tahun Membangun Bersama Islam

Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 21 Okt: Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dinobatkan Tokoh 20 Tahun Membangun Bersama Islam sempena ulang tahun kerajaan Kelantan ke-20, malam tadi.

Sempena penganugerahan itu, Tuan Guru menerima cenderahati daripada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, pada acara yang penuh bersejarah itu.

Penganugerahan itu juga sebagai simbolik beliau menjadi tunjang pada pentadbiran Kelantan yang kini Menerajui Perubahan.

Saat biodatanya dibaca oleh penyair terkenal Kelantan, Abdul Hadi Yusof, Tuan Guru tidak dapat menahan sebaknya.

Turut hadir berangkat pada majlis itu, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

Terdahulu, Sultan Kelantan telah berkenan merasmikan ulang tahun pentadbiran kerajaan Kelantan tepat jam 10.30 malam pada program yang diadakan di Kelantan Trade Cantre (KTC).

Tuan Guru sewaktu berucap pada majlis tersebut mengimbau kembali sejarah kemenangan kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah pada tahun 1990 sehingga ianya turut menjadi perhatian dunia.

Katanya, Kelantan tiba-tiba sahaja menjadi perhatian dunia bukan hanya kerana menang bersih pada pilihan raya 1990, sebaliknya berusaha mengamalkan dasar Islam dalam pentadbiran.

“Ramai yang mencela, ramai yang menyindir kerajaan Kelantan hanya mampu bertahan hanya tiga bulan, kemudian akan bankrap dan jatuh.

“Namun hari ini tuan-tuan dapat saksikan sendiri dengan pertolongan Allah yang tidak pernah menzalimi hamba-Nya sentiasa membantu dan terus membantu kerajaan negeri hingga berjaya sampai kini,” ujarnya.

Sementara itu, Wan Mohd Hanif Wan Mohammad, memenangi pertandingan mencipta logo sempena sambutan ulang tahun ke-20 itu.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob, Speaker Dun Kelantan, Datuk Mohd Nasharuddin Daud, anggota-anggota Exco kerajaan negeri, Adun dan ahli Parlimen.

Secara umumnya, sambutan program itu penuh dengan aktiviti keagamaan yang bermula dengan menunaikan solat Maghrib, solat sunat hajat yang diimamkan sendiri oleh Tuan Guru.

Sumber (KLIK)



Huraian ringkas
: Alhamdulillah, saya amat bersyukur kerana penyertaan saya di dalam pertandingan reka-bentuk logo Sambutan 20 Tahun Membangun Bersama Islam bagi digunakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan telah diterima sebagai Johan sekaligus merangkul hadiah yang ditawarkan oleh pihak penaja.

Saya tidak menyangkakan ia diterima memandangkan syarat penyertaan itu dibuka umum. Bukan rakyat Kelantan sahaja. Malah seluruh dunia boleh menyertainya. Ini yang menyebabkan saya rasa amat-amat TIDAK SANGKA (susah nak luahkan dengan tulisan dan kata-kata sebenarnya!).

Apa pun dalam hal ini juga, saya ingin ucapkan berbanyak terima kasih khas untuk Mak dan Ayah yang banyak membantu dalam menguruskan siapa yang akan diwakilkan untuk menerima penghargaan pada majlis perasmian nanti (maksudnya hari ini). Dan berbanyak terima kasih juga khas kepada Azam (Abang) kerana kesanggupan dan susah payah beliau untuk menjadi wakil saya sekaligus menerima penghargaan pada malam itu dan terima kasih kepada Ilham (adik) yang turut ke sana. Begitu juga saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Faiz, Ikmal dan Amni (adik-beradik) kerana turut menyokong sama usaha yang tak seberapa ini.

Tak dilupakan juga, saya ingin rakamkan berbanyak terima kasih kepada Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) dan Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir (KPKM) atas dorongan persatuan ini yang saya berada di bawahnya. Tanpa taklifan yang saya terima selama ini, mungkin saya tidak mampu untuk menghasilkan logo ini. Moga Allah ta'ala meluas dan melimpahkan rezeki yang tak terhingga kepada persatuan kebajikan mahasiswa-mahasiswi Malaysia di Mesir ini.


P/s : Duk Mesir ni...nak kongsikan perasaan gembira dengan siapa ye...?

Thursday, May 28, 2009

Lukisan gergasi di Gurun Nazca

Photobucket

Lukisan gergasi di Gurun Nazca
Petikan:
CopyPaste

Sebelum terciptanya kapal terbang, tiada siapa menyangka ada suatu misteri objek aneh terpampang di dataran Gurun Nazca yang terletak di selatan Lima, Peru.

Selama ribuan tahun, misteri itu terus menjadi rahsia yang tidak disedari sesiapa sehinggalah zaman berubah melewati masa dan kemajuan teknologi apabila pesawat mula dicipta. Ketika itu tatkala sebuah pesawat komersial terbang tinggi melintasi gurun berkenaan sekitar 1920-an, juruterbang dan penumpang tergamam melihat pelbagai objek aneh tertera di bumi Peru.

Di hadapan mata mereka, tertera pelbagai lukisan raksasa dalam pelbagai bentuk yang dilukis di atas tanah gurun.

Lukisan yang amat besar sehingga mencapai ratusan meter panjang itu tidak mungkin disedari sesiapa meskipun seseorang itu berjalan di atasnya. Bentuknya hanya jelas kelihatan daripada udara, itupun dari lokasi yang amat tinggi.

Sebaik melihat puluhan objek misteri berbentuk haiwan dan tumbuhan itu, juruterbang dan penumpang berasa hairan dan fikiran masing-masing dipenuhi pelbagai teka-teki.

Lukisan apakah ini? Siapa yang melakar lukisan yang amat besar ini dan apa tujuannya? Sejak bila ia dilukis dan bagaimana dengan bersaiz gergasi, manusia dapat melukis objek itu dengan tepat sehingga membentuk gambar haiwan dan tumbuhan?

Sejak itu, penyelidik dan ahli arkeologi mula memenuhi Gurun Nazca. Ratusan pesawat berterbangan di atas kawasan itu semata-mata mahu melihat dan mengkaji misteri kewujudan lukisan aneh berkenaan. Kajian mendapati ada ratusan lukisan gergasi yang dihasilkan malah ia meliputi kawasan yang amat luas iaitu sejauh lebih 57 kilometer. Antara objek gergasi yang tertera di permukaan gurun itu adalah monyet, burung, pokok, geometri dan jasad makhluk aneh.

Berdasarkan penemuan artifak arkeologi sekitar kawasan itu, penyelidik mendapati ada kaum tertentu menetap di situ kira-kira 1,300 tahun lalu iaitu antara 200 Sebelum Masihi (SM) hingga tahun 700.

Akan tetapi tidak dapat dipastikan sama ada kaum terbabit yang bertanggungjawab menghasilkan lukisan itu atau lakaran objek aneh terbabit sudah dilukis pihak lain sebelum kewujudan penempatan purba berkenaan.

Proses pembinaannya adalah dengan menoreh permukaan tanah batuan keras berwarna gelap di gurun sehingga tanah itu berwarna lebih terang dan membentuk objek.

Bagaimanapun, misteri yang paling membingungkan penyelidik dan ramai pihak adalah siapa yang melukis lukisan berkenaan dan apakah tujuannya?

Kini pelbagai teori dikemukakan. Paling menarik ialah teori yang mengatakan lukisan aneh Nazca dibina makhluk asing sebagai tapak pendaratan UFO pada zaman purba. Dengan teknologi canggih makhluk asing itu, tidak mustahil mereka mampu melukis ratusan lukisan gergasi terbabit.

Melewati masa, makhluk asing meninggalkan tapak pendaratan itu dan kawasan berkenaan dihuni kaum tertentu. Akan tetapi, disebabkan ia hanya dapat dilihat daripada udara, manusia yang menghuni kawasan itu tidak menyedari wujudnya lukisan gergasi berkenaan sehinggalah pesawat dicipta.

Lukisan gergasi itu juga dikatakan dibina sebagai upacara ritual keagamaan penduduk purba dalam menyembah ‘dewa’. Oleh itu terdapat lukisan berbentuk makhluk aneh menyerupai manusia. Pihak lain mengatakan ‘dewa’ yang disembah penduduk purba berkenaan sebenarnya adalah makhluk asing.

Ada pihak percaya misteri di Gurun Nazca itu berkaitan dengan misteri pembinaan piramid dan stonehenge di mana tiga kawasan itu dikatakan menyimpan ‘kuasa’ tinggi di dunia ini serta kerap berlakunya fenomena ‘fata morgana’.

Teori lain mengatakan lukisan berkenaan dibina sebagai kalendar astronomi sekali gus memperlihatkan pihak yang bertanggungjawab menghasilkan lakaran itu sudah mengkaji ilmu kaji bintang sejak zaman purba.

Ahli arkeologi dan matematik Jerman, Maria Reiche percaya garisan pada lukisan mewakili arah pergerakan bintang dan planet tertentu manakala gambar labah-labah dan monyet menunjukkan kumpulan bintang Orion dan Ursa Mayor.

Penyelidik lain, Prof Helaine Siverman mengatakan objek yang dilukis mewakili tanda puak bagi pelbagai puak pribumi yang wujud di kawasan itu, suatu ketika dulu. Lukisan juga berkemungkinan digunakan sebagai peta untuk penduduk bergerak termasuk ke kawasan yang memiliki air di gurun itu.

Satu lagi teori mengatakan penduduk yang menghasilkan lukisan itu sebenarnya sudah membina ‘pesawat’ menyerupai belon udara panas walaupun ketika itu adalah zaman purba dan lukisan itu berupa tapak pendaratan.

Bagaimanapun, sehingga kini, jawapan sebenar kepada tujuan penghasilan lukisan raksasa itu serta teka-teki mengenai siapa yang menghasilkannya, masih kekal menjadi misteri.

FAKTA: Lukisan Gergasi Nazca
Ada lebih 300 lukisan yang berselerak di kawasan seluas kira-kira 500 kilometer persegi.
Lukisan terbesar dilukis dengan saiz panjang 270 meter.
Terletak antara Pergunungan Andes dan Pantai Peru.
Doktor yang juga antropologis tempatan, Toribio Mejia Xespe, dipercayai antara saintis pertama yang mengkaji lukisan Nazca iaitu pada 1927.

Bagaimana Sultan Muhammad al-Fatih bebaskan Kota Istanbul




Bagaimana Sultan Muhammad al-Fatih bebaskan Kota Istanbul
Tulisan: Dato' Husam Musa
Petikan: Harakahdaily ( CopyPaste )


Hari ini, 546 tahun yang silam, Muhammad bin Murad melukir satu sejarah dengan menawan kota yang sangat kuat pertahanannya - Konstantinapole.

Pada ketika ini Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, telah pun berada di Kota Istanbul untuk menghadiri sambutan ulangtahun upacara yang amat bersejarah ini.

Tulisan ini cuba melihat bagaimana seorang pemimpin seperti Muhamad Murad yang kemudiannya diberikan gelaran Muhammad Al Fatih, telah berjaya dilahirkan. Adakah di sana satu metod tertentu untuk mencetak pemimpin seperti beliau dan bagaimanakah cara untuk berbuat demikian.

Peribadi dan kepimpinan Muhammad Al Fatih menunjukkan beliau mempunyai ciri berikut;
a. Asuhan dan disiplin Islam yang kuat
b. Mempunyai matlamat hidup yang ingin dijayakan
c. Kehendak yang kuat
d. Sabar dan ketahanan ruhani yang kuat
e. Pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk misinya, atau mendapatkan bantuan pakar dalam bidang masing-masing bagi tujuan melengkapkan skil berkenaan
f. Ibadah dan pergantungan yang kuat dengan Pencipta

Sebelum isu ini dikupas lebih lanjut, kita tinjau dulu bentuk pertahanan Kota Konstantinapole itu sendiri yang sangat menakjubkan; Kota ini berbentuk tiga segi. Dua bahagian kota menghadap laut iaitu Selat Bosporus dan Laut Marmara. Bahagian daratan dilingkungi oleh sebuah benteng yang sangat kukuh;

a. Bahagian luar kota dilingkungi oleh sebuah parit besar. Dalamnya 10 meter dan lebarnya 60 meter
b. Ada dua tembok iaitu tembok luar dan tembok dalam. Tembok luar sahaja setinggi 25 kaki dan setebal 10 meter
c. Tembok dalam pula setinggi 40 kaki tinggi dan 15 meter tebal
d. Terdapat menara kawalan sepanjang tembok dalam dengan ketinggian 60 meter!
e. Terdapat 400 batalion tentera terlatih mengawal tembok ini sepanjang masa.

Dengan kedudukan pertahanan seperti itu, hampir mustahil untuk tembok ini dicerobohi.

Di bahagian laut pula, terdapat rintangan rantai besi yang kuat diletakkan di Selat Bosporus yang digunakan untuk menghalang kapal-kapal melepasinya.

Konstantinapole telah menjadi ibu kota Empayar Bizantin untuk berkurun-kurun dan dikenali sebagai kota yang paling makmur dan terkaya di Eropah. Ia terletak di pertemuan antara Asia dan Eropah dan Laut Mediterranean dan Laut Hitam. Justeru, ia sangat strategik baik dari segi perdagangan mahupun geo politik.

Sejak Rasulullah s.a.w mengungkapkan bahawa nanti Kota penting ini akhirnya akan jatuh di tangan seorang pemerintah yang terbaik, memimpin tentera yang terbaik sepanjang zaman, telah banyak percubaan dibuat untuk menawan kota ini, namun tidak berjaya. Sahabat seperti Abu Ayub al Ansari juga telah berusaha dan mereka telah mengepung kota ini selama tujuh tahun, tetapi masih gagal.

Hanya 800 tahun selepas sabda Nabi yang Mulia itu, sabda yang menakjubkan ini menjadi kenyataan. Sultan Muhammad bin Murad yang kemudian lebih masyhur dengan gelaran Sultan Muhammad al Fatih telah memulakan pengepungan ke atas Konstantinapole pada hari Khamis, 5 April 1453 dan berjaya membuka kota ini pada 29 Mei 1453, hari tulisan ini dipostkan.

Sungguhpun pengepungan ini berlangsung selama hampir dua bulan sahaja, program penaklukan ini telah berjalan lama!... ( Klik Read More untuk baca selanjutnya ) Ia bermula apabila bapa Sultan Muhammad Al Fatih, Sultan Murad memilih guru-guru yang terpilih untuk mendidik anak raja ini, yang waktu itu, seorang anak yang nakal.

Sejak berumur sembilan tahun, Sultan Muhammad telah mengalami pendidikan disiplin yang ketat. Rasa bebas dan nakal sebagai anak raja yang masih kecil mula berakhir apabila bapa baginda memberikan kebebasan kepada guru-guru beliau untuk membentuk dan mendidik Muhammad. Rotan turut digunakan oleh gurunya untuk mendisiplinkan anak ini. Dalam satu kejadian, Muhammad telah sengaja dirotan dengan teruknya tanpa sebarang kesalahan yang dilakukan oleh beliau. Tujuan guru beliau berbuat demikian ialah untuk membentuk perasaan belas kasihan dan sikap adil dan saksama dalam jiwa bakal Sultan ini. Supaya nanti baginda dapat mengambil keputusan berpaksikan keadilan dan memahami perasaan orang-orang yang tidak diperlakukan dengan adil!

Sultan Muhammad dibimbing untuk menghafal al-Qur'an. Dilatih untuk sembahyang malam. Dibentuk menjadi wara' dan zuhud. Diasuh mencintai ilmu dan ulama'. Mempunyai budi pekerti yang baik dan perasaan yang halus. Keunggulan pendidikan keruhanian Sultan Muhammad ternyata apabila baginda akan dilantik menggantikan bapanya secara rasmi sebagai pemerintah Kesultanan Uthmaniah, beliau menangis teresak-esak.

Gurunya lah yang telah mengarahkan beliau menerima tanggungjawab itu atas hujah bahawa seorang berkaliber seperti beliau wajib memikul amanah ummah dan itu jihad dan ibadah yang lebih besar.

Pendidikan Sultan Muhammad di istana baginda hampir komprehensif. Sebagai bakal raja dalam persekitaran Eropah dan pusat perdagangan dan diplomatik, baginda dapat berbahasa lebih dari lima bahasa.

Sudah tentu baginda fasih dalam bahasa Arab. Baginda juga diajar matapelajaran sejarah, geografi dan astronomi. Pakar ketenteraan juga diundang untuk memberikan pendedahan ketenteraan kepada beliau. Lama sebelum program pembebasan Konstantinapole dimulakan, Muhammad al-Fateh telah berbincang dengan pakar sejarah dan ketenteraan mengenai sebab-sebab kegagalan ekpedisi penawanan Konstantinapole sebelum ini.

Apa rahsia kekuatan pertahanan kota itu dianalisis. Bagaimanakah caranya untuk mengatasi halangan-halangan itu juga dibincangkan. Dari perbincangan itu, antara lain mereka mengenal pasti hal berikut;
a. Dinding tembok itu terlalu tebal dan pada waktu itu belum ada teknologi yang boleh meruntuhkannya. Sultan Muhammad telah mengarahkan dicari satu teknologi yang boleh meruntuhkan tembok itu. Tentera baginda akhirnya berjaya mencipta meriam yang paling canggih dengan bantuan seorang pakar senjata bangsa Hungary yang telah diculik dari kurungan dalam penjara Konstantinapole dengan mengorek lubang bawah tanah yang dalam dan panjang!. Berat setiap meriam ciptaan baru ini ialah 700 pauns! Ia perlu ditarik oleh 100 ekor kuda dan seratus orang tentera. Bila diletupkan, bunyinya boleh didengar sejauh 13 batu! Setiap tembakannya akan menyebabkan tembok yang kuat berlubang seluas enam kaki. Nah! Benteng besar itu sekarang telah menemui ruasnya.

b. Rantai besi yang kuat yang dirintangi menghalang laluan kapal. Ia menghalang bantuan dan pergerakan melalui laut. Sultan Muhammad telah mencipta satu plan luar biasa mengatasi halangan ini. Ia adalah antara rekod sejarah yang menakjubkan dari segi kreativiti dan kekuatan keinginan seorang pemimpin. Baginda mengarahkan pembinaan kapal di daratan. Dibuat pada sebelah malam supaya tidak disedari oleh musuh. Mesti disiapkan dalam masa yang singkat. Kapal ini diluncurkan dari daratan sejauh 5km ke lautan dengan meletakkannya tergelunsur di atas batang-batang kayu yang telah diatur dan telah diminyakkan untuk melicinkan perjalanan kapal-kapal itu. Pada masa yang telah ditetapkan, kapal-kapal ini dilancarkan dari daratan dan muncul di depan Kota Konstantinapole sebelah lautan dengan melepasi rantai besi yang telah terpasang! Ia memeranjatkan tentera musuh. 400 kapal musuh terbakar dan serangan dari lautan berjalan serentak dengan pengepungan sebelah daratan.

c. Lazimnya bila tentera sampai di pantai menghadap Kota ini, mereka terdedah kepada serangan musuh kerana kawasan yang terbuka dan jika sekiranya satu benteng pertahanan mengelakkan serangan hendak dibina, ia memakan masa selama setahun.

Sultan Muhammad telah mengarahkan benteng pertahanan menghadap tembok kota Konstantinapole itu dibina dalam masa tiga bulan dengan menggunakan segala teknik pembinaan semasa yang canggih. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Konstantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Ia memang berjaya disiapkan seperti direncanakan.

Dari mana kekuatan keinginan seorang pemimpin ini diperolehi oleh Sultan Muhammad? Gurunya bukan sekadar menyuntikkan kekuatan ruhani kepada bakal Sultan ini, tetapi juga telah menyuntik sikap terbuka terhadap teknik dan teknologi baru yang diperlukan untuk misi mereka. Mereka juga menyuntik sikap berminda strategik dan kreatif. Sultan Muhammad dapat menganalisis dengan tepat permasaalahan dan mencari jalan penyelesaian terhadap setiap permasalahan itu secara praktikal sebelum melancarkan misinya.

Tetapi yang paling penting, sejak kecil lagi guru-guru baginda telah membentuk minda baginda untuk merasakan dirinya lah yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai raja terbaik yang memimpin tentera terbaik yang akan dapat membebaskan Konstantinbapole.

Sasaran, visi dan misi yang jelas, yang disuntikkan ke dalam minda baginda ternyata berkesan. Dari kecil, Sultan Muhammad mengimpikan bagindalah pembebas itu!

Baginda bergerak selari dengan impian ini. Akhirnya, ia adalah sebuah kenyataan. Dari sudut kepimpinan, bapa baginda seorang yang berpandangan jauh. Sejak umur 14 tahun, Muhammad telah diminta menguruskan empayar dengan alasan, bapanya ingin menumpukan kepada ibadah. Namun, dalam dua keadaan kritikal, bapa baginda pulang semula untuk memimpin Kerajaan Uthmaniah. Selepas ancaman kritikal itu diatasi, Muhammad diberikan peluang untuk menguruskan semula empayar yang sedang berkembang itu. Melalui pendedahan berbentuk bimbingan ini, Muhammad terlatih menjadi pemimpin yang berkualiti. Ditambah, sepanjang hayat baginda, guru-guru baginda yang menjadi rujukan keruhanian dan kebijaksanaan, sentiasa bersama baginda. Hatta, ketika pengepungan kota itu berlangsung, gurunya mengimamkan solat
hajat semua tentera Sultan Muhammad.

Melihat 150,000 tentera Islam berbaris rapi untuk bersolat di luar kota itu, cukup untuk menakutkan musuh yang sedang berkawal dalam kota!

Pada hari pembukaan Kota Kontantinapole yang bersejarah itu, Sultan Muhammad bersujud syukur. Sepanjang kempen, baginda tidak putus-putus mengarahkan tenteranya bertakbir dan melaungkan slogan-slogan bersemangat, termasuk motivasi berasaskan hadis Nabi bahawa Konstantinapole akan dibebaskan oleh tentera yang terbaik dan merekalah tentera terbaik yang dijanjikan oleh Nabi itu.

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan di dalam Kota Konstantinapole yang baru sahaja dibebaskan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam solat Jumaat yang pertama itu. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya berdiri dan diikuti pertanyaan: "Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!". Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.

Pertanyaan seterusnya, "Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!". Sebahagian daripada tenteranya duduk. Kemudian Baginda bertitah, "Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!".Kali ini semuanya duduk, kecuali baginda sendiri sahaja yang tetap berdiri! Subhaanallah!

Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajud sejak baligh. Tepatlah janji Rasulullah s.a.w dan kota ini kemudian bertukar nama kepada Istanbul.

Sekarang, marilah kita mengenali secara ringkas guru-guru yang berjasa besar membentuk Sultan Muhammad.

Pertama Ahmad 'ibn Ismail Al-Kori:

Guru istimewa ini menunjukkan role model kepada Sultan Muhammad. Seorang yang wara', tidak menyembah Sultan sama seperti orang lain memberikan tunduk hormat, memanggil nama Sultan dan kerabat mereka dengan nama mereka masing-masing tanpa sebarang panggilan gelaran, Bersalaman dengan mereka tanpa mencium tangan mereka. Sepanjang Ramadhan, Sultan Muhammad menghadhiri kelas mentafsir ayat-ayat Al-Qur'an yang diadakan di istana baginda selepas solat zuhur, dengan guru-guru yang bersilih ganti.

Ahmad ibn Ismail lah yang mengajarkan Al Qur'an, hukum-hukum agama dan kepatuhan padanya. Ia juga membentuk rasa takwa dalam jiwa Sultan Muhammad dengan berbagai cara, termasuk nasihat-nasihat yang berkaitan dengan tugas pemerintah.

Kedua Sheikh Muhammad bin Hamzah al-Rrouhy,

Lebih dikenali sebagai Ba'q Shamsuddin. Beliau meninggalkan kesan yang sangat mendalam terhadap keperibadian Sultan Muhammad. Beliau telah menginspirasikan Sultan Muhammad meningkatn aktiviti dakwah dan keislaman di bawah Empayar Othmaniah sebagai satu cara memperkuatkan empayar tersebut.

Beliaulah yang paling giat meyakinkan Sultan Muhammad bahawa beliau adalah raja terpilih seperti yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w dalam sabdanya itu. Selain mengajarkan teras-teras ilmu Islam, Shamsuddin juga bertanggungjawab mengajar sains, matematik, sejarah, strategi perang, astronomi dan lain-lain.

Beliaulah yang telah merotan Muhammad di masa kecil tanpa sebab. Beliaulah yang mententeramkan Sultan Muhammad yang menangis kerana enggan menjadi raja. Beliaulah yang telah ditanya oleh Sultan Muhammad sama ada beliau boleh bersara selepas lama memerintah kerana ingin menumpukan kepada ibadah tetapi dijawab, ibadah sebagai Sultan yang adil adalah lebih berharga lagi.

Shamsuddin meletakkan insipirasi dalam dada Sultan, memberikan baginda tujuan dan misi pemerentahan yang jelas dan bersama baginda sehingga cita-cita itu tercapai. Kerana itu lah, beliau dikenali sebagai Penakluk Ruhani Konstantinapole. Guru yang merancang lahirnya seorang pemimpin dan terukirnya sebuah sejarah. Insan pada sisi lain Sultan Muhammad al-
Fatih.

Fan

Feed Galeri

Feed Video

Hits Pengunjung